SHAH ALAM- Dengan hanya menekan klik pada butang kekunci komputer dengan satu jari, ia boleh membawa perubahan kepada kehidupan orang lain!
Kempen dalam talian ‘Power of 10 Sen: Communities Unite for Pure-water (C.U.P) yang dikendalikan oleh Power of 10 Sen ini bermatlamat untuk menanam sikap bertanggungjawab dan semangat yang kuat di kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa melalui sepanduk dalam talian ‘klik’ untuk membekalkan bekalan air yang bersih dan mencukupi di komuniti-komuniti miskin di Asia Tenggara. Presiden Power of 10 Sen, Tan Sri Zaleha Ismail berkata, setiap klik akan mengaktifkan sumbangan 10 sen oleh sebuah penaja korporat.
“Power of 10 Sen bukanlah bertujuan untuk mengutip berjuta-juta ringgit tetapi ia adalah mengenai memberi kuasa kepada berjuta kanak-kanak.
“Matlamat bagi fasa pertama kempen ini ialah untuk mencecah 1 juta ‘klik’ dalam masa empat bulan, bermula Februari 2010 di mana tabung yang telah dikutip akan digunakan untuk membekalkan tangki-tangki mengumpul air dan sistem-sistem penapis seramik untuk komuniti-komuniti miskin di Kemboja,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Power of 10 Sen: Communities Unite for Pure-Water (C.U.P) yang diadakan di Dewan Annexe, Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini semalam.
Menurut Zaleha, semua pihak memainkan peranan penting dalam merealisasikan kejayaan kempen ini.
“Kita faham tanpa sokongan pelbagai pihak terutamanya pihak media dan sektor korporat, kita mungkin akan mengalami kesukaran dalam memastikan kempen ini berjaya.
“Kita juga berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan komitmen penuh dalam kempen ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan bolehlah melayari www.power10sen.org atau www.cup.com.my.
Pelancaran kempen itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Nor Azmal Mohd Nazir.
Sinar Harian
Sinar Harian





